Pemimpin pembangkang dihalang masuk bangunan KDN

Pemimpin pembangkang dihalang masuk bangunan KDN

PUTRAJAYA: Kekecohan berlaku di perkarangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang ini apabila sekumpulan pemimpin pembangkang yang hadir untuk menyerahkan memorandum berkaitan pekerja asing dihalang memasuki bangunan itu.

Difahamkan mereka datang ke KDN untuk menyerahkan memorandum dan berbincang dengan pegawai kementerian bagi mendesak kerajaan mengekalkan moratorium terhadap pengambilan pekerja asing baru untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Antara pemimpin pembangkang terbabit ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli Parlimen Sungai Siput daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar, Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad serta beberapa pimpinan NGO.

Mereka tiba di perkarangan bangunan KDN kira-kira jam 2.50 petang namun dihalang pegawai dan pasukan RELA daripada memasuki bangunan.

Keadaan bertukar kecoh apabila rayuan mereka untuk cuba berjumpa dengan pegawai KDN ditolak.

Berang dengan tindakan itu, mereka mengadakan sidang media di depan bangunan KDN.

Dr Jeyakumar berkata mereka hadir bertujuan menyerahkan memorandum dan ingin mengadakan perbincangan secara baik dengan kementerian berhubung isu pekerja asing.

“Kenapa kami dihalang sampai nak ugut panggil polis. Kami bukan penjenayah, kedatangan kami untuk mendesak KDN mengekalkan moratorium pembawaan masuk pekerja asing ke negara kita.

“Seperti diketahui umum, setakat ini daripada 5.5 juta pekerja asing berada di negara kita, hanya 2.3 juta ada dokumen sah.

“Kehadiran 5.5 juta pekerja asing di negara kita menjejaskan ekonomi golongan B40 (bawah 40%) rakyat tempatan di mana mereka menghadapi masalah mencari kerja kerana majikan lebih suka mengupah pekerja asing.

“Ini kerana pekerja asing boleh dibuli, dinafikan bayaran lebih masa yang sah dan sebagainya. Inilah punca utama pengangguran di kalangan B40 kita,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata mereka mahu pekerja asing ditempatkan kepada sektor pekerjaan 3D saja.

“Sekarang apa yang dapat dilihat ialah pekerja asing ada di pelbagai sektor dan keadaan itu sangat membimbangkan kerana ia akan menghalang rakyat tempatan memperoleh pekerjaan,” katanya.

Tian Chua berkata sepatutnya KDN memberi peluang kepada mereka untuk berbincang memandangkan isu pekerja asing ini penting kerana ia melibatkan ekonomi negara.

“Kita harus ingat dalam keadaan ekonomi parah sekarang kita harus uruskan pasaran buruh dengan baik, kita tidak boleh biarkan ini berterusan sehingga mengancam kehidupan rakyat.

“Kita juga khuatir dengan penambahan pekerja asing yang tidak terhad boleh mencetuskan masalah sosial,” katanya.

Bagaimanapun, selepas hampir sejam berada di perkarangan bangunan KDN dan gagal mencapai kata sepakat dengan KDN, kumpulan itu bersurai dan memaklumkan akan membawa isu berkenaan ke Parlimen.