Pengundi Sarawak hukum kami, kata Zairil

Pengundi Sarawak hukum kami, kata Zairil

KUCHING: Kekalahan teruk pembangkang dalam PRN Sarawak baru-baru ini ialah hukuman daripada pengundi, kata ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari.

“Ia pengajaran kepada kita semua, untuk pembangkang. Hakikatnya ialah, dalam banyak kerusi, penggabungan pembangkang sepatutnya boleh beri kita kejayaan. Kita mungkin boleh menyebabkan BN hilang duit mereka.”

Zairil, yang bertanggungjawab terhadap beberapa kerusi DAP di Sarawak, termasuk Mambong, memberitahu FMT, tindakan pembangkang menyertai PRN tanpa persediaan sebagai satu pakatan, menyebabkan mereka merendahkan kredibiliti sendiri.

Antara akibatnya ialah, jumlah pengundi yang keluar mengundi agak rendah.

“Ia (perselisihan di kalangan parti komponen pembangkang) dengan jelas mencipta rasa tidak percaya di kalangan pengundi dan ini pada asasnya mendorong rakyat untuk langsung tidak keluar mengundi.

“Ini apa yang berlaku di Mambong. Jumlah pengundi yang keluar membuang undi lebih tinggi di kawasan masyarakat Bidayuh berbanding kawasan Cina, hanya kerana mereka merasakan kita tidak bersatu dalam mengambil tindakan.

“Sama juga di kalangan masyarakat Dayak,” katanya.

Pembangkang menerima tamparan hebat dalam PRN Sarawak kali ini, dengan hanya memenangi 10 daripada 81 kerusi yang mereka tandingi.

Perbalahan secara terang-terangan yang masih tidak selesai berkaitan pembahagian kerusi untuk ditandingi juga menyebabkan DAP dan PKR bertembung antara satu sama lain di enam kawasan. Kesannya ialah DAP sebagai parti komponen paling kuat dalam pakatan itu, tewas lima kerusi di kawasan majoriti Cina kepada BN.

“Pembangkang secara keseluruhannya dihukum kerana kita kurang solidariti, gagal menunjukkan perpaduan kita. Ini jelas akibatnya.

“Kita perlu bertindak bersama-sama dalam tempoh dua tahun ini atau perkara sama ada berlaku pada PRU akan datang. Dan kita akan terima keputusan yang sama,” kata Zairil.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata satu-satunya cara untuk DAP dan PKR melakukannya ialah dengan berbincang dan menyelesaikan segala perbezaan mereka.

“Kita perlu berkompromi jika kita mahu mendapatkan semula kepercayaan rakyat dan itu sangat penting.

“Ia memerlukan kita berbaik-baik semula, meletakkan kepentingan rakyat di depan kepentingan kita.

“Kerana itu apa yang sudah terjadi. Rakyat rasa dikhianati.”