ANNUAR: POLITIK PERKAUMAN LAHIR SELEPAS DAP WUJUD

Lipatan sejarah harus dibuka semula bagi mengenali DAP dan bagaimana politik perkauman mula timbul, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, DAP bertanggungjawab mewujudkan politik perkauman kerana politik sebegitu hanya wujud selepas tertubuhnya parti itu.

“Umno diwujudkan hampir 20 tahun lebih awal sebelum lahirnya DAP. Politik pelbagai kaum ketika itu cukup harmoni.

“Tetapi setelah Singapura dikeluarkan dari negara ini, parti serpihan PAP muncul iaitu DAP dan sejak wujudnya DAP yang bertanding dalam pilihan raya maka banyak isu perkauman dipolitikkan, sebagaimana kita tahu telah berlaku pergaduhan kaum,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.

DAP terpaksa berulang kali menangkis dakwaan bahawa ia adalah parti cauvinis Cina yang mengancam kedudukan Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Pemimpin parti itu mendakwa Umno menggunakan hujah tersebut untuk mencetuskan rasa takut di kalangan pengundi Melayu-Islam. Untuk mengubah persepsi itu, DAP membawa masuk lebih ramai anggota Melayu ke dalam parti itu dan meletakkan mereka sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya.

Sementara itu, Annuar juga mendakwa bahawa memandangkan pembangkang tidak berkuasa, mudah bagi mereka untuk menjanjikan rakyat “bulan dan bintang-bintang.”

“Pembangkang ini meremeh-remehkan kejayaan kerajaan kerana mereka bijak ‘berpolitik’ tetapi kita sibuk menjadi kerajaan dan kerana itulah asyik menjawab isu yang sengaja diada-adakan oleh pembangkang.

“Nasihat saya kepada pemimpin Umno, walau menjadi timbalan menteri atau menteri duduk dalam kerajaan, harus bijak berpolitik dan boleh mengupas serta menjawab perkara-perkara yang berkaitan dengan politik semasa.

“Kelompongan yang ada dalam BN sekarang ini adalah kita tidak mahu bercakap secara politik, kita bercakap secara kerajaan… Inilah masalahnya untuk kita mula menyerang pembangkang,” katanya.

Beliau turut berharap agar rakan-rakan dalam parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC serta anggota lain akan bijak dan berupaya menghuraikan apa itu BN, apa itu MCA dan apa itu Gerakan atas kesatuan dalam kepelbagaian yang diwujudkan.

“Jangan bercerita kerajaan sahaja… Ada kekuatan di belakang BN itu. Apakah dasar dan falsafahnya. Kita tidak hidangkan itu maka sekaranglah masa untuk kita ketengahkan dalam berpolitik,” katanya lagi.

– M’kini

.