PAS KEDAH GUGURKAN MAHFUZ SEBAGAI CALON PRU14

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar akan digugurkan daripada senarai calon pilihan raya akan datang PAS di Kedah selepas dia dilaporkan dilihat menghadiri konvensyen Amanah di Alor Star, lapor Malaysiakini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu wartawan yang Mahfuz dilihat rapat dengan Pakatan Harapan.

Bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit Amiruddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa, Mahfuz menghadiri ceraman yang di adakan di Alor Setar malam semalam.

Penceramah utama malam semalam adalah Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya boleh sahkan yang Mahfuz tidak ada dalam senarai calon PAS untuk pilihan raya akan datang. Dia boleh cari platform lain.

“Jika dia sudah bersama Pakatan Harapan, dia tak akan jadi calon PAS,” kata Muhammad Sanusi pada sidang media hari ini.

Muhammad bagaimanapun enggan mengulas sama ada tindakan tatatertib akan diambil kepada Mahfuz.

Sementara itu, PAS mengatakan parti Islam itu akan bertanding di semua 36 kerusi DUN dan 15 Parlimen di Kedah.

“PAS sedia untuk merampas Kedah daripada Barisan Nasional dan akan bertanding di semua kawasan. Jika Pakatan juga mahu bertanding, kita akan bertanding tiga penjuru,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.