‘Coach Muni’ dalam kenangan rakan di Guam

‘Coach Muni’ dalam kenangan rakan di Guam

PETALING JAYA: Para sahabat Asmuni Abdullah di Guam, Amerika Syarikat memberikan penghormatan terakhir kepadanya, individu yang dikenali mereka sebagai “Coach (jurulatih) Muni”, lapor Pacific Daily News.

Minggu lalu, ramai rakyat Malaysia mula mengenali Asmuni sebagai suami kepada Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Pasangan suami isteri itu adalah antara enam mangsa yang terkorban selepas helikopter yang mereka naiki terhempas di Sebuyau, Sarawak ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching.

Di Guam, Coach Muni meninggalkan legasinya dalam arena bola sepak belia di kepulauan itu.

Selama beberapa tahun, Asmuni yang juga bekas pemain dan pengadil, menjadi jurulatih kepada pasukan bola sepak belia Orange Crushers.

Presiden Persatuan Bola Sepak Guam (GFA) Richard Lai berkata Asmuni ialah seorang rakan dan teman sekerja yang baik, serta penyokong tegar pembangunan akar umbi bola sepak di Guam.

“Sebagai sukarelawan dalam pelbagai jawatankuasa GFA, beliau banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan dan pembangunan GFA,” kata Lai, dan menambah Asmuni banyak terlibat dalam melengkapkan tiga Projek Gol FIFA yang terawal bagi Guam.

Seorang lagi rakannya, Robert Torres berkata kehadiran Asmuni membawa kesan besar terhadap golongan belia di pulau itu dan beliau sering melihat kepada kualiti setiap kanak-kanak yang menjadikan mereka istimewa.

“Beliau dapat menyampaikan kepada mereka, tidak kira betapa bagus anda, sama ada anda superstar atau tidak, anda ialah kanak-kanak yang istimewa dan boleh menyumbang kepada pasukan.”

Torres berkata Asmuni yang juga imam di masjid Guam ialah individu positif, setia dan tradisional dalam caranya tersendiri.

“Ada satu ayat yang Asmuni sering ungkapkan iaitu bila Tuhan ambil sesuatu daripada anda, Dia selalu akan beri sesuatu yang lebih baik,” kata Torres.

“Itulah cara dia melihat anak-anak ini. Dia sangat positif dan mereka suka bermain untuknya.”

Asmuni selamat dikebumikan pada Ahad lepas, berhampiran pusara Noriah.

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar tak dapat dielakkan

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar tak dapat dielakkan

PETALING JAYA: Sumber daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangkis khabar angin kononnya pilihan raya kecil (PRK) tidak akan diadakan di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Menurut laporan China Press, sumber itu menegaskan tidak mungkin SPR akan menunggu sehingga atau selepas 24 Jun ini untuk mengumumkan kekosongan kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar bagi mengelakkan PRK berlangsung di dua kawasan Parlimen itu.

“Yang penting bukannya bila sijil kematian (ahli Parlimen) itu dikemukakan, sebaliknya ia ditentukan berdasarkan tarikh kematian dalam sijil itu.

“Lazimnya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat digesa menyerahkan sijil kematian kepada SPR secepat mungkin,” kata sumber berkenaan kepada akhbar berbahasa Cina itu.

Menurut Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun, sebelum tamat sesi Parlimen atau DUN dan PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Jika sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong selepas tempoh tiga tahun daripada tarikh ahli Parlimen mengangkat sumpah atau menghadiri sidang Dewan Rakyat atau DUN buat kali pertama bagi penggal itu, maka PRK tidak perlu diadakan.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan PRK Sungai Besar akan diadakan sebelum sambutan Aidilfitri pada Julai nanti.

Ia susulan kematian Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam tragedi helikopter di Sarawak Khamis lalu.

Nahas itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Keluarga mangsa nahas helikopter diberi khidmat kaunseling

Keluarga mangsa nahas helikopter diberi khidmat kaunseling

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membawa 10 kaunselor untuk memberi khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mangsa nahas helikopter Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan – di hotel penginapan keluarga mangsa, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching dan Hospital Umum Sarawak.

Rohani berkata, khidmat kaunseling untuk ahli keluarga mangsa amat diperlukan agar mereka dapat menerima hakikat orang disayangi sudah pergi selama-lamanya dan tidak terlalu bersedih.

Mengenai proses pengecaman dan pengurusan mayat, Rohani berkata, ahli keluarga mangsa hanya akan dipanggil ke hospital untuk tujuan pengecaman dan pengesahan mayat apabila proses bedah siasat dan ujian DNA selesai.

“Selepas segala pengurusan mayat sudah diselesaikan barulah jenazah akan dihantar pulang untuk urusan pengebumian,” katanya kepada wartawan hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga yang berhasrat sembahyangkan jenazah ikut agama masing-masing boleh berbuat demikian dan kementeriannya akan memberi segala bantuan diperlukan.

Setakat ini empat mangsa telah dijumpai dengan tiga daripadanya telah dikenal pasti.

Mereka ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang ditemui di tebing Sungai Batang Lupar, Lingga pagi semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai yang dijumpai pagi ini, kira-kira 15km dari tempat mayat Noriah ditemui serta Ahmad Sobri Harun yang merupakan pengawal peribadi Noriah dijumpai pada jam 12.04 tengah hari tadi, tidak jauh dari kawasan mayat pertama dijumpai.

Individu lain yang turut menaiki helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Ketika kejadian, helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong menghala ke Kuching pada jam 4.12 petang Khamis lalu, sebelum terputus hubungan dan tidak dapat dikesan radar 20 minit kemudian.

Ahli keluarga mangsa dalam tragedi itu tiba di Kuching sejak semalam.

Jenazah Noriah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong, Tanjong Karang, Selangor awal pagi tadi.

– BERNAMA

Mayat ketiga milik pengawal peribadi Noriah, mayat keempat ditemui

Mayat ketiga milik pengawal peribadi Noriah, mayat keempat ditemui

PETALING JAYA: Mayat ketiga tragedi helikopter terhempas di Sebuyau disahkan milik Ahmad Sobri Harun.

Allahyarham adalah pengawal peribadi Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Mayat ketiga yang lengkap berpakaian dan mempunyai dokumen pengenalan diri ditemui pada jam 12.04 tengah hari tadi di Sungai Batang Lupar, Lingga.

Lokasi penemuan mayat ketiga itu tidak jauh dari kawasan mayat pertama dijumpai.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata, mayat keempat ditemui pada jam 3.20 petang tadi.

Mayat ketiga lengkap berpakaian, berpengenalan diri- Shahidan Kassim

Mayat ketiga lengkap berpakaian, berpengenalan diri- Shahidan Kassim

SRI AMAN: Mayat ketiga tragedi helikopter, ditemui di Sungai Batang Lupar, Lingga, dekat sini, hari ini, lengkap berpakaian dan mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mayat itu terapung di sungai itu pada 12.04 tengah hari, tidak jauh dari kawasan mayat pertama timbalan menteri dijumpai.

“Biarlah polis umumkan berkenaan identiti mayat,” katanya pada sidang media d sini.

Beliau berkata bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemukan mayat tersebut ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, jurucakap bomba menyatakan mayat ketiga itu ditemukan kira-kira satu kilometer dari kawasan mayat pertama iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon ditemui.

Shahidan berkata bagi tujuan melicinkan perjalanan SAR, beliau selaku menteri bertanggungjawab menjaga hal ehwal bencana, akan menyewa bot-bot penduduk sekitar Batang Lupar bagi membantu operasi.

Selain Noriah, penumpang lain yang berada dalam helikopter tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah iaitu Asmuni Abdullah.

Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang
warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang Khamis, menghala ke Kuching sebelum tragedi itu berlaku.

– BERNAMA

Parlimen, DUN rakam takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter

Parlimen, DUN rakam takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter

JOHOR BAHARU: Parlimen Malaysia dan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan lima lagi mangsa nahas helikopter di Sarawak, dua hari lepas.

Ucapan tersebut dizahirkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mewakili Parlimen dan DUN.

“Izinkan saya bagi pihak Parlimen Malaysia dan seluruh DUN, dengan rasa yang amat sedih menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Menteri Perusahaaan, Perladangan dan Komoditi dan mereka
yang terlibat dalam tragedi itu.

“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh mereka akan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orag beriman dan solihin,” katanya ketika memulakan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri Seluruh Malaysia, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dalam nahas Khamis lalu, helikopter jenis Eurocopter AS350 yang dalam penerbangan dari Betong pada pukul 4.12 petang menghala ke Kuching, terputus hubungan dan hilang daripada radar.

Beberapa serpihan pesawat itu ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau semalam sebelum mayat Noriah, 52, dijumpai di tebing Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, kira-kira 30km dari Lingga, tengah hari semalam.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian menjumpai dua lagi mayat dipercayai mangsa nahas yang sama, hari ini.

Selain Noriah, penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah, Asmuni Abdullah.

Anggota Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang warga
Filipina Rudolf Rex Ragas.

– BERNAMA

Laporan siasatan nahas AS350 dikeluarkan dalam tempoh sebulan

Laporan siasatan nahas AS350 dikeluarkan dalam tempoh sebulan

KUCHING: Laporan awal siasatan nahas helikopter Eurocopter AS350 oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata siasatan dilakukan bagi mengetahui punca nahas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau, yang mengorbankan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan dua yang belum dikenal pasti manakala tiga lagi masih hilang.

“Banyak faktor…jadi kami perlu melihat semua aspek sebelum mengulas sama ada laluan yang digunakan itu selamat atau sebaliknya.

“Pada hari kejadian, Khamis, terdapat empat hingga lima helikopter menggunakan laluan sama…ada yang berada di hadapan dan mendarat dengan selamat,” katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kuching di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian juga telah memanggil pasukan penyiasat daripada penyedia perkhidmatan helikopter Airbus bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Liow berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai DCA sehingga kini telah melakukan pencarian di kawasan seluas 2,850km persegi semalam.

“Misi pencarian hari ini akan meliputi kawasan seluas 875km persegi di sepanjang Sungai Batang Lupar sehingga ke Sri Aman,” katanya sambil menjelaskan kawasan pencarian lebih kecil disebabkan tumpuan pencarian lebih berfokus kali ini.

Liow turut mengesahkan pasukan SAR telah menemukan mayat mangsa kedua pukul 8.34 pagi tadi di Sungai Belebat iaitu anak Sungai Batang Lupar.

“Namun begitu identiti mayat tersebut masih belum dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan kini berada di hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai dan masyarakat tempatan yang mempunyai maklumat atau berada di sekitar kawasan pencarian untuk menghubungi pihak berwajib sekiranya menemui sebarang penemuan berhubung insiden ini dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis DAerah Sri Aman di talian 083322121.

Selain Noriah, lima lagi mangsa ialah suaminya, Asmuni Abdullah, ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong ke Kuching pada pukul 4.12 petang Khamis sebelum dilaporkan hilang.

-Bernama

Mayat ketiga nahas helikopter ditemui

Mayat ketiga nahas helikopter ditemui

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman Twitternya sebentar tadi mengumumkan mayat ketiga nahas helikopter di Lingga, Sarawak sudah ditemui.

Beliau dalam siri Twitter itu menyatakan mayat ketiga sudah ditemui dan sedang dalam urusan diterbangkan ke IPK Kuching.

“Mayat ketiga ditemui di Lingga. Urusan untuk menerbangkan ke IPK Kuching sedang diuruskan. Saya berada di bilik mayat hospital Kuching,” tulis Ahmad Zahid.

Identiti mayat ketiga ini juga belum dikenalpasti.

Mayat itu dilapor ditemui penduduk kampung menghubungi pihak polis pada jam 10.30 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak SCP Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, mayat mangsa masih belum dapat dibawa keluar oleh pasukan SAR berikutan air sungai di kawasan penemuan sudah surut.

“Keadaan itu menyukarkan operasi SAR tetapi kami akan berusaha menggunakan helikopter mendekati lokasi dan cuba keluarkan mayat menggunakan kaedah ‘airlift’,” katanya.

Pada pukul 8.34 pagi tadi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat kedua di Sungai Batang Lupar.

Mayat mangsa yang masih terikat di tali pinggang keselamatan kerusi ditemui berhampiran Pulau Seduku, kira-kira 10 kilometer dari pusat operasi SAR juga masih belum diketahui identitinya lagi.

Setakat ini hanya mayat pertama yang ditemui berdekatan lokasi serpihan helikopter dikenalpasti milik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan selamat dikebumikan di kampung halaman beliau di Tanjung Karang, Selangor.

Selain Noriah helikopter itu turut dinaiki suaminya, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Pasukan SAR dingatkan waspada ancaman buaya

Pasukan SAR dingatkan waspada ancaman buaya

SRI AMAN: Anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, dinasihatkan berwaspada dengan ancaman buaya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata perairan Lingga hingga Pulau Seduku, Batang Lupar terkenal dengan buaya.

Pulau Seduku merupakan Taman Santuari Buaya Sarawak, dan kawasan perairan bersebelahan dengan Taman Negara Maludam.

Abdul Aziz berkata anggota keselamatan yang terlibat dengan SAR telah dibekalkan dengan senjata.

“Tapi itu perkara biasa. Sehingga memasuki hari ketiga (SAR) tiada ancaman diterima. Namun kita sudah ingatkan semua yang terlibat perlu ambil kira keselamatan diri sendiri,” katanya kepada pemberita di pusat operasi SAR Lingga, kira-kira 49 kilometer dari Bandar Sri Aman.

Beliau berkata kawasan pencarian mangsa nahas sudahpun dikecilkan dan tumpuan diberikan terhadap perairan Lingga hingga Pulau Seduku, dan jumlah anggota akan ditambah mengikut kesesuaian.

“Di sini kita mempunyai pasukan penyelam namun keadaan air sungai yang keruh menyukarkan anggota untuk menyelam. Namun sekiranya keadaan memerlukan, pasukan penyelam sentiasa bersedia,” katanya.

-Bernama

Pasukan SAR dingatkan waspada ancaman buaya

Pasukan SAR dingatkan waspada ancaman buaya

SRI AMAN: Anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, dinasihatkan berwaspada dengan ancaman buaya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata perairan Lingga hingga Pulau Seduku, Batang Lupar terkenal dengan buaya.

Pulau Seduku merupakan Taman Santuari Buaya Sarawak, dan kawasan perairan bersebelahan dengan Taman Negara Maludam.

Abdul Aziz berkata anggota keselamatan yang terlibat dengan SAR telah dibekalkan dengan senjata.

“Tapi itu perkara biasa. Sehingga memasuki hari ketiga (SAR) tiada ancaman diterima. Namun kita sudah ingatkan semua yang terlibat perlu ambil kira keselamatan diri sendiri,” katanya kepada pemberita di pusat operasi SAR Lingga, kira-kira 49 kilometer dari Bandar Sri Aman.

Beliau berkata kawasan pencarian mangsa nahas sudahpun dikecilkan dan tumpuan diberikan terhadap perairan Lingga hingga Pulau Seduku, dan jumlah anggota akan ditambah mengikut kesesuaian.

“Di sini kita mempunyai pasukan penyelam namun keadaan air sungai yang keruh menyukarkan anggota untuk menyelam. Namun sekiranya keadaan memerlukan, pasukan penyelam sentiasa bersedia,” katanya.

-Bernama