Pembangkang perlu tubuh parti tempatan, tawan hati Sarawak

Pembangkang perlu tubuh parti tempatan, tawan hati Sarawak

PETALING JAYA : Pembangkang disarankan menubuhkan parti politik peringkat tempatan di Sarawak supaya ia lebih dekat dengan rakyat negeri itu sekali gus menjadi alternatif yang berupaya mengukuhkan pakatan pembangkang di bumi Kenyalang.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata pembangkang perlu mengambil kira faktor jumlah populasi penduduk di Sarawak luar bandar lebih tinggi berbanding kawasan bandar.

“Elemen politik dan parti nasional agak sukar diterima penduduk di Sarawak. Mereka sebenarnya mengundi BN, tetapi diwakili parti tempatan. Macam PBB, SUPP dan sebagainya.

“Parti tempatan mendapat perhatian berbanding parti di peringkat nasional. Parti nasional hanya relevan di peringkat bandar,” katanya ketika dihubungi FMT di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai DAP yang hanya berjaya memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandingi pada PRN Sarawak 2016 kelmarin sementara BN menang 72 kerusi dan PKR mengekalkan ketiga-tiga kerusinya.

Berbanding pada PRN Sarawak ke-10 pada 2011, DAP berjaya memenangi sebanyak 12 kerusi.

Azizuddin berkata, kesilapan mengatur strategi pada PRN Sarawak kali ini menyebabkan DAP kalah lima kerusi yang disandangnya pada PRN ke-10.

“Pada hari mengundi nampaknya strategi yang diambil salah apabila pengundi luar bandar masih menolak mereka dan berlakunya ‘swing’ undi Cina terhadap BN di kawasan,” katanya.

Katanya, faktor kempen BN yang memainkan isu pembangunan juga masih lagi relevan dan menarik perhatian pengundi sehingga BN memenangi PRN negeri kali ini.

Deposit 62 calon melayang

Deposit 62 calon melayang

PETALING JAYA: Deposit terkumpul sebanyak RM310,000 yang dipertaruhkan 62 calon pembangkang dan Bebas melayang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan, calon Bebas paling ramai kehilangan deposit mereka iaitu seramai 17 orang.

Ia diikuti calon Parti Reformasi Negeri (STAR) dan PKR masing-masing 10 orang, AMANAH sembilan calon, DAP tujuh calon, PAS lima calon dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) empat orang.

Setiap calon yang bertanding pada pilihan raya peringkat DUN wajib memberi deposit sebanyak RM5,000 dan tambahan RM3,000 sebagai deposit bahan kempen pada hari penamaan calon.

Mereka akan kehilangan wang deposit RM5,000 jika gagal mendapat 1/8 daripada jumlah undi yang diperolehi semua calon bertanding dalam pilihan raya itu.

Peraturan membayar deposit itu bertujuan menghalang individu yang tidak serius atau mempunyai agenda tertentu mengambil bahagian dalam sesuatu pilihan raya.

Elak kepartian sempit, teruskan berjuang- Wan Azizah

Elak kepartian sempit, teruskan berjuang- Wan Azizah

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar parti-parti komponen pembangkang supaya mengatasi isu kepartian sempit demi perpaduan nasional.

Ini kerana pihaknya menghadapi pelbagai cabaran dan halangan yang sekali gus menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini pilihan raya yang paling sukar bagi PKR.

“Pelbagai cabaran dan halangan mengingatkan kami untuk terus istiqamah dalam perjuangan mendesak pilihan raya yang lebih bebas dan adil sebelum pilihanraya umum yang akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah akan terus mengangkat suara rakyat tanpa rasa takut kerana percaya masih banyak yang perlu diusahakan demi membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Kami berjanji untuk terus berkhidmat dan mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen,” katanya lagi.

Sementara itu, DAP dijangka melakukan ‘post-mortem’ selepas mengalami kehilangan lima kerusinya kepada BN.

“Parti akan menjalankan post-mortem dan tunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen. Ia termasuk kegagalan membawa sebarang kemajuan di kerusi luar bandar,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga bertekad untuk bekerjasama dengan parti PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan.

“Terdapat keperluan untuk mengukuhkan mekanisme dalaman Pakatan Harapan supaya perjanjian yang dibuat dihormati selain dipertahankan. Pakatan perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan kita,” jelas beliau lagi.

PKR tewas di 37 kerusi namun mengekalkan kesemua kerusi dimenanginya pada pilihan raya Sarawak 2011 iaitu di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.

DAP yang bertanding di 31 kerusi hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.

PAS Sarawak terima kemenangan BN, nasihat elak politik wang

PAS Sarawak terima kemenangan BN, nasihat elak politik wang

PETALING JAYA: PAS Sarawak menyeru supaya amalan politik wang dan sekatan terhadap pemimpin yang datang berkempen tidak berulang pada masa-masa akan datang.

Setiausaha PAS Negeri Sarawak, Mukhtar Suhaili berkata demikian supaya proses Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang lebih telus.

“PAS Sarawak menyarankan beberapa teguran dan penambah baikan kepada Kerajaan Negeri untuk diambil perhatian dalam pilihan-pilihan raya akan datang.

“Antaranya halangan dan sekatan imigresen yang tidak sewajarnya berlaku, politik wang di mana pengundi diberi hadiah atau duit selepas membuang undi, penyalahgunaan premis kerajaan sepanjang tempoh berkempen dan perlunya padang sama rata disediakan kepada semua parti-parti yang bertanding tanpa ada dwi-standard,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga akui PAS Sarawak menerima dan bersikap positif dengan keputusan pilihan raya yang baru sahaja diumumkan walaupun partinya masih gagal melahirkan ADUN pertama.

“Meskipun belum berjaya melahirkan ADUN sulung, namun PAS berjaya menambah undi di Beting Maro dan Sebuyau selain telah berjaya menanam benih dan membina tapak di 7 kerusi DUN yang baru pertama kali ditandinginya,” jelas beliau lagi.

Katanya lagi, PAS Sarawak komited ke arah membina Sarawak Sejahtera seperti mana yang dinyatakan di dalam kandungan Tawaran Untukmu Sarawak.

“PAS akan menyokong segala inisiatif kerajaan jika ia membela kepentingan rakyat dan membantu mengangkat agenda kerajaan yang telus dan cekap (good governance).

“PAS juga akan tegas menegur dan menasihati kerajaan dalam perkara-perkara yang dirasakan perlu selaras dengan sistem semak dan imbang yang diperjuangkan,” tegasnya.

Pada PRN Sarawak kali ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berjaya mengekalkan sebanyak 72 kerusi berbanding 80 kerusi yang dipertandingkan.

‘Team Adenan’ tiada pilihan selain kotakan janji

‘Team Adenan’ tiada pilihan selain kotakan janji

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem tidak ada pilihan lain selain mengotakan janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Penganalisis Politik, Profesor Dr Jeniri Amir berkata, Adenan perlu berganding bahu dengan pemimpin baru dan lama bagi membentuk ‘team Adenan’ yang mantap.

“Adenan perlu mengandingkan pemimpin muda dan lama dari pelbagai etnik untuk menambat hati rakyatnya.

“Adenan tidak ada pilihan lain selain membentuk pasukan yang mantap agar janji-janji yang dibuat sebelum pilihan raya dapat ditunaikan.

“Jika tidak dapat ditunaikan, ia akan menghantui pasukan Adenan pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Sementara itu, Jeniri juga percaya rakyat Sarawak memahami keputusan penangguhan royalti minyak yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Rakyat Sarawak memahami situasi ini. Tidak guna kenaikkan royalti minyak ini dibangkitkan pada ketika harga minyak dunia jatuh,” katanya lagi.

Semalam, tepat pada jam lima petang, 1,754 pusat mengundi yang dibuka sejak lapan pagi semalam ditutup. Ia bermakna bermulanya proses pengiraan undi bagi menentukan kemenangan calon.

Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengumumkan peratusan rakyat Sarawak yang mengundi setakat jam empat petang adalah sebanyak 54 peratus. Jumlah tersebut masih kurang dari jangkaan asal iaitu sekitar 75 peratus.

Adenan berjaya membentuk Kerajaan dengan kelebihan dua pertiga apabil berjaya memperolehi 72 kerusi daripada 80 kerusi yang dipertandingkan.

DAP kalah kerana % keluar undi rendah

DAP kalah kerana % keluar undi rendah

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengakui prestasi parti itu teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

“Saya menang kerusi Kota Sentosa, tetapi DAP Sarawak kalah dalam perjuangannya. Kami terima kekalahan ini.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi saya. Saya berjanji akan teruskan perjuangan kami di Dewan Undangan Negeri bagi memberi semak dan imbang yang lebih baik kepada dasar dan tindakan kerajaan,” katanya.

DAP hanya memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya pada PRN kali ini berbanding 12 kerusi pada 2011.

Parti itu turut kalah di kerusi Batu Kawah, Repuk, Dudong, Meradong dan Piasau.

Ditanya jika perbalahan dalaman antara DAP dan PKR adalah punca kekalahan parti itu, Chieng Jen berkata, ‘post-mortem’ akan dijalankan.

Beliau menyumbang kekalahan parti itu kepada peratusan keluar mengundi yang rendah.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, hanya 52% pengundi yang keluar mengundi setakat jam 4 petang Sabtu, sejam sebelum pusat pengundian ditutup.

“Kami perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan ini dan merancang haluan baru untuk memecahkan halangan di kawasan pedalaman,” katanya sambil menambah amat sukar untuk menembusi kawasan pedalaman.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut menyatakan DAP kehilangan sokongan di kawasan pedalaman dan bandar.

Rakyat Sarawak yakin hanya BN mampu bangunkan Bumi Kenyalang

Rakyat Sarawak yakin hanya BN mampu bangunkan Bumi Kenyalang

PETALING JAYA: Kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 memberi isyarat jelas rakyat Bumi Kenyalang tidak mahu hubungan dengan Kerajaan Persekutuan terjejas, kata penganalisis politik.

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, rakyat Sarawak juga masih memerlukan bantuan BN pusat untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri itu.

“Salah satu faktor kemenangan BN ialah Tan Sri Adenan Satem. Malah faktor utama sebenarnya ialah isu pembangunan masih penting di Sarawak. Hanya BN sahaja mampu bawa pembangunan di Sarawak.

“Malah rakyat Sarawak juga melihat pembangkang yang lemah dan berpecah belah tidak mampu mambawa pembangunan kepada mereka. Rakyat Sarawak juga tidak mahu hubungan dengan persekutuan terjejas kerana hakikatnya Sarawak masih memerlukan bantuan persekutuan untuk membangun,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, perpecahan parti pembangkang juga antara faktor mereka kalah teruk dan ditolak rakyat pada PRN kali ini.

“Pembangkang kalah sebab tidak bersatu untuk menjadi alternatif kepada BN. Keduanya, parti nasional kurang mendapat tempat di Sarawak. Ketiganya faktor 3M: Media, money and mechinery yang terbatas dimiliki pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, kemenangan bergaya BN di Sarawak kali ini tidak memberi gambaran sebenar rakyat di Semenanjung kembali menyokong parti pemerintah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Politik Sarawak berlainan dengan Semenanjung. Jadi kemenangan BN Sarawak tidak boleh jadi petunjuk kepada BN pusat kerana isu tempatan lebih dominan. Poster Perdana Menteri pun tidak digantung, rakyat berbicara faktor Adenan bukan faktor Najib,” katanya.

Jumlah keluar mengundi rendah hanya 53 peratus setakat jam 4 petang tadi?

Pensyarah sains politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkara itu sudah diduga berdasarkan kajian sebelum ini.

“Ada ramai penyokong BN tidak berpuas hati pemilihan wakil rakyat yang dipersepsikan mereka sebagai kurang mempunyai ciri-ciri yang mereka mahu. Mereka sangat sayang dengan parti mereka khususnya BN tetapi mereka tidak mahu memangkah pembangkang kerana mereka tahu pembangkang di Sarawak belum ada rekod yang teruji.

“Mereka juga tidak mahu berpaling tadah menyokong pembangkang. Jadi langkah tidak keluar mengundi dianggap sebagai langkah neutral mereka. Langkah ini juga sebagai langkah selamat dan terbaik mereka terhadap parti mereka.

“Faktor Adenan sudah popular juga menyebabkan ada penyokong Adenan berasa sudah berada dalam zon selamat dan mereka mengambil mudah soal mengundi kerana menjangka faktor Adenan akan pasti memenangkan BN,” katanya.

Sementara itu, bagi pengundi Iban khususnya yang bekerja di luar kampung halaman, mereka menganggap kurang praktikal untuk pulang dua kali dalam masa terdekat semata-mata untuk mengundi memandangkan mereka akan meraikan Hari Gawai pada 1 Jun ini.

“Jadi dengan ekonomi yang tak stabil dan kos balik mahal, lebih baik balik untuk meraikan gawai dayak 1 Jun berbanding mengundi selama satu hari. Lagipun tak banyak usaha untuk membawa mereka balik mengundi kerana undi adalah rahsia dan tidak pasti mereka akan mengundi parti yang membawa mereka balik itu,” katanya.

Keputusan rasmi PRN Sarawak ke-11 menyaksikan BN meraih kemenangan besar dengan memperolehi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, manakala DAP memenangi 7 kerusi dan PKR berjaya mempertahankan tiga kerusi mereka.

PAS dan AMANAH pula tewas dalam semua kerusi yang ditandingi mereka hari ini.

Keputusan: Semua calon AMANAH hilang deposit

Keputusan: Semua calon AMANAH hilang deposit

PETALING JAYA: AMANAH beranggapan adalah perkara biasa untuk calon kehilangan wang deposit pada pilihan raya, khasnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, ia adalah satu kejayaan, jika ada di kalangan calon parti yang baru berusia tujuh bulan itu memperoleh semula wang deposit mereka.

“Hilang deposit di Sarawak ini adalah perkara biasa bagi calon-calon. Mana-mana kawasan yang kita perolehi deposit itu sudah kita anggap sebagai suatu kemenangan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Anuar turut menjelaskan, pengalaman pertama parti itu bertanding pada PRN kali ini merupakan pengalaman berharga untuk AMANAH memperkenalkan parti dan logonya kepada rakyat Sarawak.

“Ia memberikan pengalaman yang cukup berharga dan sebagai parti baru untuk diperkenalkan kepada orang ramai bukanlah suatu perkara mudah.

“Jadi, tujuan kita menyertai PRN Sarawak adalah untuk memperkenalkan parti dan logo yang berusia tujuh bulan ini kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.

Ujarnya lagi, tidak dapat dinafikan suasana politik di Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia, kerana rata-rata rakyat di negeri itu tidak memahami secara mendalam isu yang dibincangkan di Semenanjung, iaitu 1MDB dan juga isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Tambahnya, sekatan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang ke Sarawak juga memperlihatkan demokrasi yang tidak subur di Bumi Kenyalang.

“Suasana di Sarawak ini memang kita sangat kecewa kerana demokrasi yang sangat terhakis, pilihan raya di Afrika mungkin lebih maju lagi.

“Kita sangat terasa dalam pilihan raya yang kita sertai ini. Kalau BN tidak menang dalam PRN kali ini maknanya dunia boleh kiamat kerana cara mereka berkempen iaitu menggunakan televisyen, radio dan lain-lain,” ujarnya lagi.

Semua 13 calon yang diturunkan AMANAH pada PRN Sarawak kali ini kecundang dan gagal mendapatkan kembali deposit mereka sebanyak RM5,000.

Calon-calon pilihan raya akan kehilangan wang deposit, jika mereka gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang diperolehi semua calon bertanding di sesebuah kerusi itu.

Keputusan: BN raih majoriti dua pertiga

Keputusan: BN raih majoriti dua pertiga

PETALING JAYA: BN telah meraih majoriti dua pertiga bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 hari ini.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN telah memenangi 72 kerusi daripada keseluruhan 82 kerusi yang dipertandingkan.

Ia sekaligus melebihi sasaran yang ditetapkan gabungan itu sebanyak 70 kerusi.

Manakala DAP pula memenangi tujuh kerusi dan PKR sekadar berjaya menawan tiga daripada 40 kerusi yang ditandinginya.

PAS pula masih gagal meraih sebarang kemenangan, meskipun menurunkan 11 calon pada PRN kali ini.

Seramai 1,085,087 pemilih berdaftar layak mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka di 80 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.

Penyandang DUN Piasau DAP berang telefon digodam

Penyandang DUN Piasau DAP berang telefon digodam

MIRI: Penyandang DUN Piasau Alan Ling Sie Kong mendakwa nombor telefonnya telah digodam (hijacked) bagi menghantar mesej bahawa DAP sedang mendahului di DUN itu dan pengundi tidak lagi perlu keluar mengundi.

Ketika dihubungi FMT, beliau mendakwa BN adalah pihak di belakang tindakan tersebut, memandangkan beliau berdepan satu sama satu dengan calon BN Sebastian Ting di DUN tersebut.

“Piasau adalah pertembungan satu lawan satu antara saya dan calon BN (Setiausaha Agung SUPP Sebastian Ting). Siapa lagi yang berminat untuk melakukannya, dan mendapat manfaat daripadanya?

“Malah saya sehingga menerima panggilan orang mengucapkan tahniah kepada saya kerana kononnya telah menang,” katanya kepada FMT.

Menurut keratan yang dihantar Setiausaha DAP Sarawak itu, mesej berbahasa Cina tersebut menyatakan “Tahniah. Kita sudah mendapat undi majoriti, penyokong DAP tidak perlu bimbang.”

Beliau memaklumkan akan membuat laporan di Balai Polis Lutong petang ini.

“Saya menggesa pesaing saya agar tidak menggunakan taktik sebegini, dan agar pengundi keluar beramai-ramai untuk mengundi,” katanya lagi.

Menurut Suruhanjaya Pilihanraya, peratusan keluar mengundi setakat 12 tengah hari ini hanya 35 peratus.